Selasa - 29 Disember 2009

Hilangkan Gatal Keladi

Untuk menghilangkan rasa gatal pada keladi, masukkan sedikit kapur sirih atau buah pinang ketika masakan sedang menggelegak. Petua ini juga menjadikan keladi akan mudah lembut dan lazat.


Pau Lebih Enak

Petua untuk pas lebih enak ialah dengan merebus daun pandan. Gunakan air rebusan tadi untuk membuat pau. Masukkan juga beberapa helai daun pandan dalam air yang digunakan untuk mengukus pau bagi mendapat bau yang harum.

Isnin - 28 Disember 2009

Ikan Panggang Seenak Bau dan Rupa

Anda penggemar ikan panggang? Ikan panggang memang menyelerakan lebih2 lagi jika dihidang panas. Sekiranga ingin bau wangi dan nampak lebih menyelerakan, petua ini pasti membantu anda. Balut ikan tersebut dengan daun kunyit sebelum diperap. Kemudian, bakar ikan tersebut dengan api yang sederhana.


Hilangkan Rasa Pijar Pada Tangan

Menggunakan cili, pasti tangan akan terasa pijar dan tidak selesa. Untuk menghilangkannya, selepas memegang cili, gosok sekeliling jari jemari dengan garam selama 1 hingga 2 minit. Selepas itu, bilaslah dengan air.

Selasa - 22 Disember 2009

Menghilangkan Bau Cili Semasa Memasak

Bau cili amat menusuk hidung jika ditumis, kadang2 boleh memedihkan hidung kita. Untuk mengelakkannya daripada berbau yang boleh menyebabkan bersin, masukkan sehelai atau 2 helai daun kari di dalam masakan anda. Bau yang memedihkan tadi akan hilang selepas beberapa saat daun kari dimasukkan. Masakan anda juga berbau wangi.


Masak Sardin Lebih Sedap

Ikan sardin memang sedap dimasak tetapi untuk lebih membuka selera anda ketika menikmatinya, cubalah petua ringkas ini. Goreng ikan sarding sebelum dibuat sambal sehingga garing dengan menggunakan api yang sederhana. Kemudian barulah goreng semula bersama cili tumbuk. Anda pasti berpuas hati dengan rasanya.

Isnin - 21 Disember 2009

Minyak Lembutkan Kuih Apam

Kuih apam pastinya menjadi pilihan anda pada petang hari. Untuk menghasilkan kuih apam yang halus dan lembut, serta tahan lama kelembutannya, anda boleh gunakan minyak masak. Masukkan sesudu minyak masak ke dalam adunaa kuih apam yang telah siap dibancuh dan gaul hingga sebati. Kemudian, kukus adunan kuih tersebut. Pastinya, apam yang terhasil akan halus dan tidak melekat pada acuan.


Menanggalkan Kesan Minyak

Bagi anda yang gemar membuat kek, sukar untuk mencuci bekas acuan pemukulnya lebih2 lagi bekas plastik. Campuran mentega, telur dan tepung amat sukar untuk dicuci walaupun dengan menggunakan pencuci berkuasa tnggi. Untuk mengatasinya, anda boleh menggunakan hampas kelapa. Gosok hampas kelapa ini pada sisa2 adunan kek yang melekat pada bekas tersebut. Kemudian, cuci bekas seperti biasa. Anda tidak perlu risau lagi dengan kesan minyak degil.

Selasa - 15 Disember 2009

Ikan Sungai Tidak Hancur

Memasak ikan sungai kadangkala agak merumitkan kerana ia mudah hancur. Untuk mengatasinya, ketika membersikannya, gaulkan ikan sungai bersama 1 sudu gula, sedikit asam jawa, 1 sudu garam dan 1 sudu cuka. Biarkan selama 15 minit sebelum dibersihkan. Kemudian, bolehlah dimasak seperti biasa.


Daun Pisang Hilangkan Lendir Ikan Air Tawar

Ikan air tawar memang sensitif dengan baunya jika tidak dibasuh bersih. Bagi membuang lendir dan baunya yang kuat, petua ini patut anda amalkan. Ambil sedikit daun pisang dan masukkan ke dalam bekas yang berisi ikan yang telah disiang. Ramas dan cuci ikan dengan air sehingga bersih. Selamat mencuba!

Isnin - 14 Disember 2009

Ayam Goreng Lebih Enak

Untuk menambahkan keenakkan ayam goreng, anda boleh menggunakan kunyit, beberapa ulas bawang dan halia. Caranya, tumbuk bahan2 ini sehingga lumat dan perap bersama ayam. Tambahkan sedikit garam dan bahan perasa. Biarkan selama setengah sehingga 1 jam. Goreng dengan api yang perlahan hingga kekuningan dan rangup.


Lilin Tahan Lama

Lilin yang dinyalakan kebiasaannya akan cair dengan cepat. Untuk memastikan lilin menyala dengan lebih lama, cuba amalkan petua mudah ini. Sebelum menyalakan lilin, rendamkan ke dalam air bercampur garam. Insya Allah, lilin akan tahan lebih lama dari kebiasaannya.

Selasa - 8 Disember 2009

Elak Batu Lesung Tumpul

Bagi mengelakkan batu lesung tumpul, jangan memasukkan cuka ke dalam bahan yang hendak ditumbuk di dalam lesung tersebut. Cuka boleh menyebabkan anak batu lesung tumpul, malah ia mudah pecah.


Melembutkan Donut

Untuk mendapatkan donat yang lembut, rebus 2 hingga 3 biji ubi kentang. Lenyek ubi kentang tersebut ke dalam bancuhan tepung. Goreng donut seperti biasa.

Isnin - 7 Disember 2009

Tempoyak Tahan Lama

Masukkan beberpa tangkai cili api ke dalam bekas menyimpan tempoyak. Gaulkan agar sebati dan tutup rapat penutup bekas. Tempoyak akan tahan selama setahun tanpa perlu dimasukkkan ke dalam peti ais.


Ikan Keli Goreng Tak Berminyak

Bagi mengelakkan ikan keli goreng berminyak, masukkan 2 sudu tepung gandum ke dalam minyak yang telah cukup panas. Kemudian, goreng ikan keli seperti biasa. Ikan bukan sahaja tidak berminyak tetapi juga akan lebih rangup dan garing.